IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman menahan sebuah lori kontena membawa muatan dadah jenis syabu dipercayai seberat kira-kira 500 kilogram di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Hentian Taiping, petang semalam.

Penahanan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman kira-kira pukul 4 petang selepas sekatan jalan dilakukan dengan bantuan Unit Penguatkuasa Pe­ronda Lebuh Raya (EMPV).

Menurut sumber, hasil peng­geledahan mendapati setiap bungkusan kotak yang ditemukan dalam lori kontena tersebut mengandungi dadah ber­kenaan.

“Nilai pasaran bagi sekilogram syabu dianggarkan bernilai antara RM50,000 ke RM55,000, justeru rampasan keseluruhan dadah itu dianggarkan bernilai lebih RM25 juta.

“Lori kontena berkenaan kemudian diiringi ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner V. R. Ravi Chandran, ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Menurut beliau, satu sidang akhbar mengenai rampasan dadah berkenaan akan diadakan oleh Polis Bukit Aman esok.

Kejayaan pihak berkuasa itu bukan sahaja tular di media sosial, malah turut dikongsi dalam laman Facebook Polis Daerah Taiping – utusan online