IPOH: Polis berjaya membongkar taktik licik seorang lelaki warga Bangladesh yang menyembunyikan dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta dalam bungkusan teh cina yang ditemui semasa serbuan di sebuah hotel di Sungai Siput dekat sini pada Selasa.

Serbuan itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kira-kira pukul 11.30 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata, sewaktu serbuan dijalankan, polis menemui 17 paket plastik bungkusan teh cina seberat 17.2 kilogram mengandungi dadah dipercayai jenis syabu yang di simpan di dalam sebuah kotak.

Jelasnya, ia merupakan taktik lelaki berusia 32 tahun itu untuk mengaburi mata pihak polis sewaktu menyembunyikan dadah tersebut di bilik hotel berkenaan.

IMG-20171130-WA0005

“Tangkapan lelaki tersebut merupakan rampasan terbesar bagi dadah jenis syabu oleh polis Perak pada tahun ini.

“Selain itu, kita percaya suspek menjadikan hotel itu sebagai transit sementara sebelum membawa dadah tersebut ke negeri lain,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.

Menurut Ravi Chandran, siasatan mendapati suspek telah tinggal di negara ini sejak 10 tahun lalu.

Ujarnya, pasport milik lelaki itu juga telah tamat tempoh pada tahun lalu dan dia dipercayai tinggal di Sungai Siput sejak tiga minggu lalu.

“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dan bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Tambah Ravi Chandran, suspek yang juga merupakan seorang penganggur direman selama tujuh hari sehingga 5 Disember ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.