SEREMBAN: Penceramah terkenal, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali Syamsul Debat, berkata beliau akan terus berceramah dan pada masa sama sebagai wakil rakyat, memberi tumpuan kepada masyarakat di kawasannya.

Beliau yang dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, adalah antara 22 calon muka baharu yang diumumkan BN Negeri Sembilan untuk bertanding pada PRU-14 oleh Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, di kediaman rasmi di sini, hari ini.

Syamsul, yang juga anak jati Negeri Sembilan itu perlu menggalas tanggungjawab besar apabila dipilih mengisi kerusi DUN Sikamat yang disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama dua penggal.

Ketika ditemui, Syamsul melahirkan keyakinan bahawa kelebihannya sebagai penceramah bebas akan memberi kelebihan kepada BN untuk merampas semula kerusi berkenaan.

“Alhamdulillah, atas sokongan Menteri Besar (Mohamad Hasan), pemimpin tempatan dan rakan, saya dipilih menjadi calon BN di DUN Sikamat dan inilah masa untuk saya bekerja kuat untuk memastikan kemenangan BN.

“Sudah tentu ia tugas yang amat berat, dengan mandat yang diberikan ini saya akan menjalankan tanggungjawab dengan amanah. Seperti mana hadis tidak beriman orang yang tidak menjaga amanah dan tidak beragama orang yang tidak melaksanakan janji,” katanya.

Katanya, beliau akan berusaha mendekati masyarakat terutama anak muda untuk memberi penjelasan dan meyakinkan mereka supaya terus menyokong BN.

Syamsul yang terpalit dengan kontroversi peribadi selepas ada laporan polis mendakwa beliau mempunyai skandal dengan isteri orang, berkata akan memperbetulkan persepsi masyarakat mengenai dirinya.

“Macam-macam tohmahan ke atas saya tetapi saya akan mendekati masyarakat untuk menangkis persepsi dan membetulkannya bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang sebenar, begitu juga dengan isu lain yang membabitkan parti.

“Kepesatan teknologi terutama dalam penyebaran maklumat di media sosial menjadi cabaran, tetapi saya akan berusaha menjawab segala isu yang ada,” katanya.

Sebagai calon baharu, beliau berharap masyarakat di kawasan Sikamat dapat menerima beliau dan memberi peluang untuknya membuktikan keupayaannya menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

BERITA BERKENAANSenarai Palsu Calon PKR Disebarkan Sebelum Pengumuman Rasmi