Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BATU KURAU: Sebuah syarikat pengambilan tanah merah di Batu 11, di sini, akur dengan desakan penduduk agar ia mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, tinjauan pemantauan yang dilakukan beliau pada pagi Isnin mendapati beberapa penambahbaikan telah diambil oleh syarikat itu.

Katanya, kerja-kerja pengambilan tanah merah oleh syarikat itu sebelum ini menerima pelbagai reaksi negatif daripada penduduk berikutan operasinya yang mengancam keselamatan serta mencemarkan alam sekitar.

“Lawatan susulan saya menunjukkan bahawa mereka cuba mematuhi arahan daripada Pejabat Tanah dan Daerah Larut, Matang dan Selama setelah satu laporan dibuat ke atas mereka seminggu lepas.

“Selain itu, hasil tinjauan saya pada pagi Isnin bersama pegawai terlibat mendapati pihak syarikat telah mengambil beberapa langkah keselamatan untuk memastikan kejadian tidak diingini berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan syarikat itu ialah parit saliran air di bahagian atas bukit telah dikorek, kolam takungan air dan parit buang telah dilebar dan dipanjangkan.

Katanya, selain itu, papan tanda atau “signage” telah diperbanyakkan khususnya ketika operasi pemindahan tanah sedang dilakukan.

Dr. Amin berkata, mengambil kira rayuan orang ramai, pengusaha syarikat bersetuju untuk menghentikan operasi selama 10 hari sempena Hari Raya bagi mengelakkan kesesakan lalulintas.

Beliau yang juga ADUN Batu Kurau berkata, pihaknya menerima aduan dari orang awam mengenai projek berkenaan, antaranya ialah risiko keselamatan.

Katanya, keadaan tapak kerja itu berpotensi berlakunya kemalangan apabila lori diletakkan di laluan motosikal yang sempit, selain mencacatkan pemandangan.

“Selain itu, berlaku pencemaran udara akibat debu daripada kerja-kerja pengambilan tanah, seterusnya mengaburkan pandangan pemandu dan ini sangat berbahaya.

“Kami juga menerima aduan bahawa air lumpur mengalir dengan banyak di atas jalan raya setiap kali hujan dan beberapa kemalangan berlaku di lokasi ini yang melibatkan satu kematian baru-baru ini,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau berkata, cadangan turut diterima daripada orang awam yang menggesa diwujudkan satu piawaian dan penguatkuasaan peraturan mengekstrak tanah dengan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Mereka juga mahu permit kelulusan asal dikemukakan kerana mengesyaki adanya pindaan pada butiran permit, selain pemantauan berkala dibuat di lokasi ini. Semua ini diambil kira dan akan diteliti,” katanya lagi.