KUALA LUMPUR : Syarikat Hond Tat Industries Sdn Bhd menafikan dakwaan pihaknya melarang pekerja Islam menunaikan ibadat solat ketika waktu bekerja.

Dakwaan itu berdasarkan sekeping memo yang tular di media sosial bahawa kilang pembuatan beg beli belah dan produk kebersihan mengeluarkan arahan berkenaan sekaligus mengundang rasa kurang senang pengguna media sosial.

Seorang pengurus yang enggan namanya didedahkan berkata memo tersebut palsu dan mengesyaki ia tindakan sabotaj kakitangan yang tidak berpuas hati terhadap syarikat tersebut.

Hond Tat turut merancang untuk membuat laporan polis berhubung isu itu, lapor The News Strait Times.

“Ini adalah tindakan sabotaj. Tiada tanda tangan dalam memo itu dan tiada pengesahan daripada pihak pengurusan tertinggi. Sesiapa sahaja boleh mengambil kepala surat dan mencetaknya.

“Kita akan buat laporan polis terhadap perkara ini tidak lama lagi.

“Tiada kakitangan yang dilarang mengerjakan solat ketika waktu bekerja,” pengurus itu dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum ini, melalui memo palsu bertarikh 30 Julai itu memaklumkan semua pekerja tidak dibenarkan pergi solat pada waktu bekerja kecuali pada waktu makan tengah hari sahaja.

“Dengan serta-merta jika didapati melanggar arahan, akan dikenakan denda sebanyak RM500 untuk setiap kali kesalahan,” kata memo palsu itu.