PARIT – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) besar dan swasta di negeri ini disaran menjadikan sekurang-kurangnya 10 buah kampung sebagai kawasan angkatnya bagi membantu golongan tidak berkemampuan di negeri ini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, GLC dan syarikat yang melabur di negeri ini disaran mengambil langkah itu sebagai pendekatan mikro membantu keluarga miskin dalam kawasan angkatnya termasuk pelajar dan sekolah.

Menurutnya saranan tersebut sekiranya berjaya dilaksanakan dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap kerajaan atau wakil rakyat.

Ia juga kaedah yang lebih efektif buat syarikat untuk melaksanakan program kebajikan atau CSR kerana mengetahui setiap penerima dan jumlah bantuan yang dibelanjakan.

“Saya telah maklumkan kepada beberapa GLC antaranya LAP, PKNP dan SADC, satu GLC ambil sekurang-kurangnya 10 kampung, saya nak mereka pastikan pendekatan memberi bantuan itu dibuat secara mikro.

“Ini termasuklah pelabur-pelabur yang ada kilang di sini, beroperasi di sini, mereka memang mahu buat kerja-kerja kebajikan cumanya dahulu bantuan ini diberi secara tunai, tak tahu duit itu ke mana dan perbelanjaan ini tak dapat diaudit.

“Kalau bapa kepada pelajar-pelajar ini tiada kerja, tawarkan mereka kerja dengan gaji yang sesuai dengan kelayakan mereka atau sebagainya, kalau ada murid-murid duduk terlalu jauh khususnya orang asal, belikan motosikal, susah sangat ke nak bantu begitu,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika berucap dalam majlis Jamuan Hari Raya Aidil Fitri anjuran SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub Bota, di sini pada Rabu.

Beliau yakin GLC-GLC besar di negeri ini mempunyai kemampuan untuk membantu golongan memerlukan secara terus sekiranya mereka tidak boros menganjurkan program-program berskala besar tetapi tidak memberi impak kepada rakyat.

“Saya dapati dalam jamuan berbuka puasa dan jamuan aidilfitri GLC ini (kosnya) cukup besar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit, tak perlu buat begitu sebenarnya.

“Saya tidak nampak sebarang masalah untuk rakyat minta bantuan daripada GLC-GLC, mereka boleh berbuat demikian dan dalam masa sama pihak-pihak sekolah atau PIBG sekolah juga perlu pandai mengambil peluang, jangan kita terlalu memikirkan dapatkan bantuan dari wakil rakyat dan kerajaan sahaja kerana banyak orang sebenarnya nak bantu,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal juga turut meluluskan sejumlah peruntukan untuk membeli 10 biji penghawa dingin dan membina gelangang Futsal untuk SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub, Bota.

Dalam majlis itu, lebih 700 pelajar termasuk guru-guru sekolah berkenaan telah memeriahkan majlis jamuan hari raya berkenaan.

Menteri Besar juga meluangkan masa beramah mesra dan berswafoto bersama kesemua pelajar dan guru yang hadir dalam majlis tersebut.

1/2