JOHOR BAHRU – Tindakan syarikat Moly Food Trading yang didakwa mengimport sebanyak 74,759 kilogaram (kg) pelbagai daging ayam dan itik proses tanpa permit sah pada bulan lalu mengundang padah apabila syarikat terbabit dijatuhi hukuman didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim memutuskan demikian setelah wakil pengurus syarikat terbabit, Chiah Mok Yong mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa telah mengimport barangan tersebut tanpa permit sah menerusi tiga buah kontena yang ditahan di Pelabuhan Pasir Gudang dekat sini pada pukul 3 petang, 26 Oktober lalu.

Antara barangan yang terdapat dalam tiga buah kontena tersebut, masing-masing karkas potongan daging proses sejuk beku iaitu dada itik sebanyak 27,500kg dari China, daging ayam (24,960kg) dari Hong Kong dan peha ayam (22,299kg) dari Singapura.

Kesemua barangan tersebut didapati tidak mempunyai permit sah import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Syarikat terbabit didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MAQIS, Ismail Ahmad dan Hafizah Mohammed manakala syarikat terbabit tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, pada 26 Oktober lalu, pukul 10 pagi hingga 5 petang, sepasukan anggota dan pegawai MAQIS telah membuat pemeriksaan ke atas tiga buah kontena yang membawa karkas ayam proses sejuk beku dan itik proses di Pelabuhan Pasir Gudang dekat sini.

Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga kontena terbabit yang membawa muatan syarikat Moly Food Trading yang beralamat di Taman Molek di sini tidak mempunyai permit import yang sah ke atas barangan terbabit daripada MAQIS. – K! ONLINE