KOTA KINABALU: Sebuah syarikat suplemen kecantikan yang menjual produk boleh menjejaskan kesihatan pengguna, didenda RM4,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Syarikat itu, Jesseltonborneo Beauty House Sdn Bhd didapati bersalah mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana menjual lima produk tidak didaftarkan, manakala yang lain tidak mempunyai pengisytiharan Jabatan Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan.

Pegawai Pendakwa, Liew Zhan Yit yang mewakili Jabatan Kesihatan Sabah memberitahu mahkamah bahawa produk dirampas dari premis syarikat itu di Kota Marudu pada 17 Januari lalu, mengandungi kandungan yang meragukan, dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan awam.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad mengenakan denda RM2,000 kerana menjual produk tidak berdaftar dan RM2,000 kerana menjual produk yang tidak diisytiharkan dan mengarahkan agar produk itu dilupuskan.

Lima produk yang tidak berdaftar ialah Ratu Mutiara (empat botol), Herbal Detox D’herbs Healthy Sdn Bhd (12 kotak), Rerama Plus Belalai Gajah (empat kotak), Belalai Gajah Plus Durian Belanda (empat kotak) dan Gel Amani (dua kotak).

Produk yang tidak diisytiharkan ialah 25 botol Dnars Sunny Cream.

Dalam rayuan selepas mengaku kesalahan itu, wakil syarikat, Rohaya Shapiin, 54, berkata mereka tidak sedar produk itu tidak didaftar dan diisytiharkan oleh pihak berkuasa.

Pengurus sumber itu berkata, produk berkenaan turut diiklankan di televisyen.

“Produk diiklankan di televisyen biasanya didaftarkan dan diisytiharkan. Saya minta maaf kerana benar-benar tidak sedar (produk tidak berdaftar dan tidak diisytiharkan),” katanya – berita harian