IPOH – Sebuah syarikat kuari didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini kerana gagal menyediakan daftar bahan kimia berbahaya kepada kesihatan, Januari lalu.

Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas Muara Hartamas Sdn Bhd sebagai majikan mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dihadapannya.

Syarikat terbabit didakwa di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Muara Hartamas Sdn Bhd didapati telah menggunakan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan untuk penyelenggaraan jentera dan disimpan di stor penyimpanan kimia.

Pemeriksaan pada 7 Januari lalu, majikan terbabit gagal mengenalpasti dan merekodkan dalam suatu daftar bahan kimia tersebut bagi bahan kimia yang digunakan di tempat kerja seperti diesel, gris, minyak hidraulik, minyak gear dan minyak enjin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak, Mohd Norhafiz Ibrahim – sinar harian