IPOH – Syarikat-syarikat Malaysia  yang membuat pelaburan di luar  negara disaran menggunakan rantaian bekalan sedia ada bagi meningkatkan eksport negara.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ini secara langsung dapat terus membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau, selain itu, Malaysia juga sedang giat berusaha mencari peluang dan mengenalpasti beberapa bandar besar di China untuk menarik dan menambah bilangan kunjungan pelancong negara itu ke Malaysia.

“Sekarang ini kita sedang mengenalpasti beberapa bandar besar di China untuk menarik ramai pelancong datang melawat ke Malaysia.

“Begitu juga dalam hal pelaburan, kita menyarankan syarikat-syarikat Malaysia yang membuat pelaburan di negara luar supaya mengunakan rantaian bekalan sedia ada bagi meningkatkan eksport negara,’’ katanya.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

       

Menurut Husni, kerajaan akan mempelbagaikan usaha merangsang ekonomi negara terutama dalam meningkatkan permintaan tempatan bagi mengimbangi kekurangan permintaan eksport akibat kelembapan ekonomi global.

Terdahulu di dalam ucapannya, Husni berkata, pemberian rumah baharu itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.

Pada majlis itu beliau menyerahkan replika kunci rumah kepada Zakaria Umar dan Umar Manyah dari Kampung Manjoi. – Suara Perak