KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan Kenwingston Sdn Bhd didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas wakilnya mengaku bersalah membiarkan tapak pembinaan sebagai lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Majistret Wong Chai Sia membuat keputusan itu selepas Pengarah Keselamatannya, Muhammad Haidhar Mohd Hazlan , 31, yang mewakili syarikat berkenaan membuat pengakuan itu.

Jika gagal membayar denda itu, mahkamah akan mengeluarkan waran levi kepada syarikat itu.

Mengikut pertuduhan, syarikat pembinaan itu didakwa melakukan perbuatan membiak serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk aedes Aegypti di lopak air di kawasan lingkungan premis tapak pembinaan berkenaan.

Syarikat Kenwingston didakwa melakukan kesalahan itu di tapak bina Lot 67619, Jalan Metro Perdana Barat, Taman Metropolitan, Kepong di sini pada jam 11.15 pagi, 13 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 13(1) dan dibaca bersama Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan dihukum mengikut Seksyen 23(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Kepong, Nurhuda Mohamad Ramli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum disebabkan kesalahan kali kedua selepas pertama kali disabitkan kesalahan sama pada November tahun lalu dan didenda RM8,500.

“Hukuman yang dikenakan dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada pengusaha tapak pembinaan yang lain bagi kepentingan kesihatan orang awam,” katanya.

Muhammad Haidhar yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman yang ringan atas alasan ketika itu musim hujan.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Kesihatan Kepong membuat pemeriksaan pembiakan serangga pembawa penyakit di tapak pembinaan berkenaan.

Hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan larva nyamuk jenis aedes di lopak air di premis berkenaan.

Pada 23 November 2017 syarikat itu didenda RM8,500 atas kesalahan sama dan diarahkan ditutup dari 13 Mac hingga 26 Mac lalu bagi kerja pembersihan tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk aedes – berita harian