COLOMBO: Syarikat penerbangan kebangsaan Sri Lanka berhenti menyajikan kacang gajus selepas presidennya berang dengan kacang yang dihidangkan kepadanya ketika dalam penerbangan ke ibu kota negara itu.

“Pulang dari Kathmandu, saya dihidangkan dengan kacang gajus dalam pesawat SriLankan, tetapi rasanya amat teruk sehingga anjing pun tidak mahu memakannya.

“Saya mahu tahu siapa membenarkan pembelian kacang itu,” kata Maithripala Sirisena dalam pertemuan dengan peladang Isnin lalu.

Jurucakap syarikat penerbangan berkata, ia bertindak balas dengan membuang semua stok kacang gajus yang cuma dihidangkan dalam kelas perniagaan, dan menggantikan ia dengan pembekal dari Dubai.

Ini bukan pertama kali hidangan kacang dalam penerbangan menimbulkan kekecohan.

Pada 2014, pewaris syarikat penerbangan Korea Selatan mengarahkan Korean Air berpatah balik untuk mengusir kru kabin selepas beliau dihidangkan kacang dalam bungkusan, bukan mangkuk. – AFP