IPOH: Sebuah syarikat pengendali laluan landasan berkembar keretapi dinasihatkan segera bayar pampasan kepada 58 buah keluarga di Parit Buntar seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pampasan bagi anjakan rumah dan pengambilan tanah 58 buah keluarga itu sepatutnya dibayar sebaik sahaja pembinaan laluan berkembar itu siap dibina dua tahun lalu.

“Syarikat yang membina laluan itu telah maklumkan bukan tidak mahu bayar tapi kena tunggu kesemua 63 keluarga di kawasan tersebut setuju terlebih dahulu dengan jumlah wang pampasan itu baru boleh dibayar.

“Setakat ini hanya 58 keluarga sahaja yang telah bersetuju dan mereka hendak tunggu lagi lima keluarga..mana boleh macam ini..sepatutnya mereka bayar kepada yang dah bersetuju manakala lagi lima keluarga itu bincang kemudian lah.

“Kalau nak tunggu kesemuanya setuju, sampai bila baru boleh bayar?” katanya beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh pada Rabu.

Beliau menambah syarikat tersebut seharusnya menunjukkan penghargaan mereka kepada keluarga yang telah bersetuju dengan jumlah pampasan itu dan membuat bayaran dengan kadar segera dan bukan sebaliknya.

“Saya difahamkan jumlah wang pampasan itu hanya lebih kurang RM200,000 sahaja….takut nanti hilang kesabaran mereka akan bertindak sebaliknya pula.

“Dulu lagi saya dah maklumkan kepada mereka, saya harap mereka dapat ambil tindakan dan selesaikan lah masalah rakyat..ini sepatutnya bukan masalah,” ujar beliau.

Menteri Besar memberitahu perkara tersebut mendapat perhatian beliau selepas menerima aduan daripada keluarga-keluarga yang tidak mendapat pampasan.