PEMILIK syarikat perancang perkahwinan Zurin Jundi dihadapkan lagi ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas 12 pertuduhan menipu lima pelanggannya membabitkan RM54,163, tahun lalu.

Tertuduh, Zurina Ahmad Jundi, 35, dihadapkan ke dua mahkamah berasingan dan mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dihadapinya.

Di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad, wanita itu didakwa dengan tujuh pertuduhan memperdayakan mangsa sehingga mereka menyerahkan RM32,163 bagi pakej perkhidmatan perkahwinan yang ditawarkan tertuduh di sekitar Johor Bahru antara 2.30 petang, 18 April 2017 hingga 12.30 tengah hari, 31 Julai 2017.

Di hadapan Majistret Azureen Shahira Sauffee Affandi, tertuduh mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan sama membabitkan RM22,000 yang dilakukan di sekitar Shah Alam dan Johor Bahru, antara 7 petang, 25 Mac 2017 hingga 2.30 petang, 15 Mei 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Hannan Ishak yang mewakili tertuduh di kedua-dua mahkamah itu dalam rayuannya memohon jumlah ikat jamin yang minimum memandangkan anak guamnya kini sudah tiada pendapatan.

“Tertuduh juga menghidap diabetis dan kini dia dalam proses untuk membayar semula wang pelanggannya dan agak sukar untuknya menjelaskan ikat jamin sekiranya jumlah yang dibenarkan amat tinggi,” katanya.

Kedua-dua mahkamah itu kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan semula bagi semua kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Muhammad Mohd Nasir.