KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempelawa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, untuk menyertai BERSATU.

Syed Saddiq berkata, Khairy boleh mengikut jejak langkah bekas pemimpin UMNO sebelum ini yang menyertai parti itu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Bersama-sama, kita boleh menggerakkan Malaysia maju ke hadapan,” kata beliau melalui laman Twitternya, semalam.

Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO semalam, berkata cadangan Perdana Menteri, Dr Mahathir, yang juga Pengerusi BERSATU yang mahu semua parti politik Melayu bersatu perlu dilihat dalam konteks positif dan bukannya dari perspektif sempit.

Khairy berkata, pelawaan Dr Mahathir itu adalah niat baik supaya orang Melayu menjadi benteng kepada perpaduan negara secara keseluruhan.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai BERSATU bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Perdana Menteri berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.

Syed Saddid berkata, ketika UMNO dan PAS dilihat semakin menuju ke haluan kanan, sudah sampai masanya BERSATU meletakkan parti itu sebagai parti pusat bagi orang Melayu.

-BeritaHarian