KUALA LUMPUR – Mantan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali membidas seorang bekas hakim yang dikatakan menafikan pengiktirafan aliran Sunni di negara ini.

“Saya kira mungkin mantan hakim ini tidak membuat homework, malas membuat research dan berkata-kata tidak berlandaskan ilmu perundangan yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Apandi mengulas satu laporan seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan Hisyamuddin Yusnus berkata dalam satu majlis di Suhakam yang perlembagaan tidak pernah mentakrifkan Islam yang menjadi agama bagi persekutuan di negara ini sebagai Sunni atau Syiah.

Beliau dilaporkan berkata mahkamah tertinggi di negara ini belum pernah lagi memutuskan apakah aliran Islam yang diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Apandi, sejak dari tahun 1987 lagi, Mahkamah Agung dalam kes Mustak Ahmed Abdul Rahim Gulam Rasool Shaik lawan Abdul Wahid Datuk Abdul Rahim pada tahun 1987 telah memutuskan bahawa takrif Islam yang diperuntukkan dalam Perlembagaan ialah Islam aliran ahli sunnah wal jamaah dari mazhab fiqh Shafie.

Mahkamah turut menegaskan walaupun Mazhab Shafie adalah mazhab rasmi fekah tetapi mana-mana mazhab fiqh lain yang muktabar turut diterima.

“Bagaimanapun, ini tentunya tidak termasuk aliran akidah seperti syiah kerana syiah bukan mazhab fiqh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Apandi sempat menyindir supaya mantan hakim itu untuk membuat kerja rumah dahulu sebelum ‘sembang bukan-bukan’.

“Mungkin ini yang dikatakan oleh Tun Mahathir (mantan hakim) Melayu ini pemalas,” katanya.

-MalaysiaGazette