KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd memfailkan saman menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap Tan Sri Shahrir Abdul Samad kerana memfitnah mereka berhubung projek membabitkan tanah FELDA.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Reza Rahim dan Rajivan di Kaunter Pendaftaran di sini dengan menamakan bekas Pengerusi FELDA itu sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan ada mengeluarkan kenyataan memfitnah mereka pada Disember 2017 sehingga Mac 2018.

Kenyataan itu didakwa menyebabkan imej dan reputasi mereka tercemar serta menyebabkan plaintif kehilangan kontrak dan projek.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu disiarkan di beberapa media massa dan media sosial.

Sehubungan itu plaintif menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan itu.

Selain itu, mereka menuntut defendan mengemukakan kenyataan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui plaintif dan disiarkan dalam lima akhbar nasional.

Selain ganti rugi RM100 juta, plaintif juga memohon ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang sesuai.

Hadir bagi pihak Synergy, Pengarah Urusan dan Pembangunan, Datuk Marina Hashim – berita harian