IPOH: Orang cacat pendengaran di negeri ini akan disyorkan memakai pakaian khas bertulis di belakang `saya cacat pendengaran’ supaya mereka tidak dipersalahkan oleh orang awam, terutama semasa menunggang motosikal di jalan raya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.

“Saya berpendapat apabila orang cacat pendengaran memakai pakaian khas ini, pengguna jalan raya lain tidak perlu menekan hon mereka lagi kerana tahu si penunggang itu cacat pendengaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelepasan struktur pelindung (rock shed) kerja-kerja pembinaan semula cerun di Laluan FT185, Seksyen 66.0, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dekat sini pada Selasa.

Menurut Zainol, beliau juga telah menerima satu memorandum daripada Persatuan Orang Buta Perak baru-baru ini yang meminta longkang di hadapan pejabat persatuan itu di Medan Kidd ditutup kerana ramai ahli persatuan mengalami kecederaan akibat terjatuh ke dalam longkang.

“Saya akan panjangkan perkara ini kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh supaya tindakan segera dapat diambil bagi menutup longkang itu,” ujarnya.

Beliau berkata, seiring dengan pembangunan, elemen yang membabitkan keperluan orang kelainan upaya (OKU) perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar mereka juga turut diberi tempat dan pembelaan.