IPOH – Alhamdulillah…hanya itu yang mampu dilafazkan Aida Ghazali, 39, apabila seorang lelaki Melayu berusia 51 tahun dari Kedah menyuarakan hasrat mendermakan buah pinggang kepada anaknya Muhammad Aidil Adha Muhammad Rizal, 14.

Menurut Aida, lelaki berkenaan memaklumkan dirinya memang berniat mendermakan buah pinggangnya kepada Muhammad Aidil Adha setelah mengetahui kisah pen­­deritaan remaja ber­kenaan melalui Sinar Harian.

“Saya mahu berbincang dahulu dengan doktor selain perlu beritahu kepada anak saya,” katanya.

Kisah penderitaan Muhammad Aidil Adha mendapat perhatian selepas men­dapat liputan beberapa me­dia tempatan, minggu lalu.

Aida berkata setakat ini ada pihak yang turut mem­bantu menyelesaikan bil-bil hospital yang ter­tunggak selain datang berkunjung ke rumahnya bagi membantu.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada yang mem­bantu. Saya juga dapat jelaskan sewa rumah,” katanya.

Muhammad Aidil disahkan menghidap sakit buah pinggang sejak berusia setahun setengah, dia kini berdepan masalah peng­lihatan yang kabur, kebas-kebas badan selain men­galami tekanan darah tinggi.

Malah difahamkan, pelajar di Sekolah Menengah Kampung Dato Ahmad Said itu terpaksa menangguhkan per­sekolahannya sejak Januari lalu – sinar