PENDUDUK 11 rumah panjang di Sebayang dan Tusok di Tanjung Manis gembira apabila menikmati bekalan elektrik disediakan Kementerian Utiliti Sarawak melalui projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Selain Rumah Mengkang Rangkong, turut menikmati kemudahan itu ialah Rumah Saung Abang, Rumah Entiu Yuoh, Rumah Balang Barang, Rumah Panting Untok, Rumah Baki Bujok dan Rumah Ukat Chileng.

Tidak ketinggalan Rumah Johny Kubau, Rumah Bangga Mujah, Rumah Francis Bujang Jelani dan Rumah Unjil Rawu, yang keseluruhannya membabitkan 175 pintu dan seramai 907 penduduk.

Penduduk, David Li, 44, berkata, dia amat berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana menyelesaikan masalah dialami mereka sejak sekian lama.

Katanya, kemudahan itu memudahkan kehidupan harian penduduk yang sebelum ini terpaksa menanggung kos tinggi.

“Secara purata, RM200 hingga RM300 dibelanjakan sebulan untuk membeli petrol bagi menghidupkan generator. Ada ketikanya apabila perlu berjimat, kita terpaksa menghadkan penggunaannya hingga 12 tengah malam.

“Bagaimanapun, selepas adanya kemudahan baharu ini, kita tidak perlu lagi bimbang. Malah, kami boleh menggunakan pelbagai peralatan elektrik seperti televisyen, peti ais, komputer dan lampu pada bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, rakannya Lajang Francis, 33, berkata, penduduk terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri, yang komited menyediakan kemudahan elektrik untuk mereka.

Menurutnya, perkembangan itu bakal membuka lembaran baharu dalam kehidupan harian penduduk setempat, malah menganggapnya sebagai hadiah paling berharga.

“Kita tidak lagi bergelap seperti dahulu, anak-anak kami dapat belajar pada waktu malam manakala, kaum wanita pula boleh melakukan pelbagai aktiviti berkaitan bagi menambah sumber pendapatan keluarga,” katanya.

Jirannya, Bryan Jackson, 40, berkata, penduduk di kawasan itu rata-ratanya bergantung hidup sebagai petani dan bekerja sendiri.

Ujarnya, walaupun jalan raya sudah dibina ke kampung itu, namun mereka masih mengharapkan kerajaan melaksanakan lebih banyak pembangunan bagi manfaat penduduk setempat.

“Pelaksanaan projek pembangunan di kawasan ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa mendengar rintihan kita. Mudah-mudahan selepas ini, lebih banyak lagi kemudahan dapat dinikmati,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, BELB itu melambangkan komitmen tinggi kerajaan negeri untuk membangunkan kemudahan asas di kawasan pedalaman.

“Selain kemudahan elektrik, saya juga pernah berjanji untuk menyediakan jalan raya. Akhirnya semua janji itu sudah ditunaikan. Usaha akan diteruskan bagi melengkapkan lagi pembangunan di kawasan ini.

“Kita juga akan memberi fokus kepada pembangunan di kawasan lain yang belum menikmati kemudahan ini. Justeru, kita amat memerlukan kerjasama bagi memastikan kesemua perancangan itu dapat dilaksanakan,” katanya – hmetro