PUTATAN: Kesukaran dialami seorang warga tua yang terpaksa tinggal di dewan kampung selepas kediamannya musnah dalam kebakaran pada Januari tahun lalu, berakhir selepas menerima rumah menerusi Progam Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Harsat Sait, 78, dari Kampung Muhibbah, Petagas, di sini, menerima rumah itu yang siap dibina pada akhir tahun lalu daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain Harsat, dua anaknya, Alifah, 49 dan Jurinah, 39, turut menerima kunci rumah PPRT disampaikan Ismail Sabri ketika majlis penyerahan tiga rumah terbabit.

Harsat melahirkan rasa syukur menerima bantuan berkenaan selepas setahun beliau dan isteri terpaksa menumpang di dewan berikutan kebakaran yang memusnahkan rumahnya dan dua lagi rumah anaknya, Januari tahun lalu.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana membina rumah ini untuk saya dan dua anak. Walaupun tidak sebesar rumah lama, saya bersyukur dapat kembali tinggal di rumah sendiri,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan rumah berkenaan, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Putatan, Datuk Marcus Mojigoh; Ketua UMNO Penampang, Senator Datuk John Ambrose; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dollah dan Pegawai Daerah Putatan, Awang Abdul Ghani Pengiran Yusof.

Ketiga-tiga rumah PPRT itu masing-masing berkeluasan 660 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dianggarkan bernilai RM68,000 seunit.

Dalam kebakaran yang memusnahkan tiga rumah keluarganya pada 13 Januari 2017, Harsat terpaksa terjun ke dalam Sungai Petagas untuk menyelamatkan diri selepas api merebak di rumahnya.

Sementara itu, Alifah berkata, kehidupan mereka lebih bermakna dengan siapnya rumah PPRT itu.

“Semua sekali ada 12 orang dalam tiga keluarga yang mendapat manfaat daripada rumah PPRT ini. Selepas ini, kami akan bersihkan dulu dan pasang tikar serta langsir sebelum masuk.

“Sejak kebakaran pada tahun lalu kami terpaksa menyewa rumah di taman perumahan berhampiran, manakala bapa dan ibu saya terpaksa terus tinggal di dewan,” katanya – berita harian