Sungai Petani:“Saya bersyukur kerana ibu tiada di rumah ketika kejadian, jika tidak saya tak tahu apa nasibnya,” kata Mohd Rizal Shaari, 30, selepas rumah didiami bersama ibunya, Sofiah Bakar, 70, musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Pasir di sini, semalam.

Kejadian jam 11 pagi itu membabitkan dua rumah menyebabkan sebuah daripadanya musnah.

Mohd Rizal berkata, biasanya ibunya tinggal sendirian selepas dia keluar bekerja, tetapi malam kelmarin kakak mengambil dan membawa ibu ke rumahnya di Bandar Sri Astana selepas ibu mengadu tidak sihat sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada jirannya jam 11.30 pagi memaklumkan rumahnya terbakar sebelum pulang dari tempat kerja di sebuah sekolah agama dekat sini.

“Sebaik tiba, saya hanya mampu melihat rumah yang didiami bersama ibu dan abang sejak kecil musnah di depan mata dan tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah.

“Walaupun sedih, saya bersyukur kerana ketika kebakaran ibu tiada di rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu bersama dua lagi jentera dari Balai Sungai Petani dan sebuah jentera bomba sukarela bersama 15 anggota dan sebuah ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 11.24 pagi – hmetro