Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SIMPANG PULAI: Bagi Jamilah Jaapar, 43, membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan merupakan satu kemewahan yang tidak mampu dinikmati oleh keluarganya.

Terbiasa dengan kehidupan serba sederhana, keluarganya yang seramai sembilan orang itu hanya mampu melihat dari jauh kemeriahan wargakota lain berpusu-pusu ke bazar Ramadan setiap kali ia menjelma.

“Menu berbuka kami ala kadar sahaja. Untuk sahur pula, kami bungkus lauk berbuka puasa di masjid. Ada nasi dan telur pun sudah dikira satu nikmat buat kami sekeluarga.

e39c4605-7c5e-4a49-9a57-eccbef397e6f

“Memang hidup kami serba kekurangan tetapi saya bahagia kerana anak-anak berada di samping saya,” katanya kepada Suara Perak.

Kesempitan hidup sudah sebati dalam diri Jamilah tetapi perkara yang membahagiakan dirinya ialah anak-anaknya tidak pernah merungut dengan kesusahan yang dihadapi.

Surirumah itu redha walau hanya mampu berlindung di dalam teratak usang, dengan bumbung dan dinding yang berlubang.

Namun baginya, untuk berputus asa, tidak mungkin sama sekali selagi kudrat yang ada mampu digunakan untuk mencari rezeki buat anak-anaknya.

Bagi menampung perbelanjaan keluarga, Jamilah mengambil upah mengupas bawang besar yang mempunyai permintaan tinggi di bulan Ramadan khusus bagi meringankan beban suaminya.

“Saya dapat upah 60 sen untuk sekilo bawang, kalau ada 10 guni, bolehlah dapat RM50, saya buat dua minggu sekali. Itulah duit membeli barang dapur untuk dimasak buat berbuka dan sahur.

ad1c12a9-3ef6-4846-ba79-4194a190b770“Dengan pendapatan yang tak seberapa ini, saya jarang bawa anak-anak berbelanja atau makan di luar.

“Pasar Ramadan pun jarang pergi…ada dua atau tiga kali sepanjang puasa. Itu pun untuk membeli kuih muih sahaja, tak mampu beli itu dan ini seperti orang lain,” katanya hiba.

Jelas Jamilah, dahulu beliau membuat dan menjual kerepek namun berhenti kerana perlu menumpukan perhatian kepada anaknya yang masih kecil.

Katanya, beliau percaya dengan ketentuan Allah malah tidak pernah mengeluh mengenai keperitan yang dilalui dan sentiasa
bersyukur kerana ramai insan berhati mulia yang memberikan sedekah, baik dari segi pakaian mahupun makanan.

Jamilah berkata, rumah serba usang yang menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh di Sungai Raia, Simpang Pulai merupakan ehsan daripada jirannya membenarkan mereka tinggal tanpa mengenakan apa-apa sewa.

“Syukur, masih ada atap dan bumbung untuk berlindung daripada hujan and panas. Bayangkan gelandangan yang tidak ada rumah, hidup mereka lebih susah. Biar atap tiris tapi kami sekeluarga tetap bersama,”katanya lagi.

Ditanya mengenai persiapan Syawal nanti, Jamilah hanya tersenyum hambar namun yakin bahawa rezeki bagi mereka sekeluarga pasti ada.

“Hidup ini macam roda, ada naik dan turun, saya percaya kalau Allah nak bagi rezeki masanya pasti akan sampai.

“Langsir, sofa itu semua tidak penting buat saya, tetapi anak-anak yang menjadi penyeri hidup ada bersama kita. Tapi terpulang kepada ekonomi masing-masing, selagi mampu, apa salahnya,” jelasnya.

Suaminya, Md Zaini Shaari, 46, yang berniaga hasil kampung di Pasar Besar Ipoh berkata, beliau sentiasa memastikan makan minum dan wang belanja bagi anak-anaknya tersedia dengan baik walau terpaksa berlapar sekalipun.

Md Zaini yang pernah terlibat dalam kemalangan tragik pada tahun 1992 berkata, insiden itu menyebabkan pergerakan dan pemikirannya agak lambat berbanding orang biasa.

“Tapi, saya akan cuba beri yang terbaik untuk anak saya, biasalah budak-budak dah adat mereka kalau nampak baju raya cantik mereka pun nak, saya tengok mana yang mampu saya belikan.

“Kita sebagai orang dewasa, dah merasa kasut dan baju baru sewaktu meningkat umur jadi kita beri kepuasan itu kepada anak-anak yang baru nak merasa nikmat dunia,” jelas ayah yang berjiwa kental ini.

Insan yang perlu diberi pujian dalam membantu keluarga ini ialah Adibah Saidi, 80, yang telah membenarkan rumah pusaka milik arwah ibu mertuanya untuk didiami keluarga sembilan beranak ini sejak lima tahun lalu.

Adibah berkata, beliau terdengar mengenai nasib keluarga itu melalui jiran-jiran dan tergerak hati untuk memberikan tempat berteduh untuk mereka.

“Kesian, nak bayar sewa rumah pun mereka tak dapat, anak ramai, jadi daripada dibiarkan kosong rumah ini, walaupun dah usang, tak apalah biar mereka duduk situ.

“Lagipun, makcik ada teman nak ke masjid, ke kedai dan jalan-jalan di sekitar kampung, itu sahaja makcik mampu bantu selagi Allah tak tutup mata makcik di dunia ini,” katanya lagi.

Bekas guru yang merupakan anak kelahiran Tapah itu berkata, keluarga Jamilah dan Md Zaini jarang sekali meminta-minta dan sentiasa bekerja keras untuk anak mereka.

“Makcik dah tua, makcik tahu keluarga ini akan dapat rezeki satu hari nanti, masanya sahaja belum tiba, buat masa ini biarlah mereka temankan makcik,” katanya kepada Suara Perak.