BALIK PULAU: Pendeposit Tabung Haji (TH) dinasihatkan tidak perlu bimbang terhadap keputusan kerajaan yang akan meletakkan agensi itu di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM), bermula Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata tindakan pihak yang melancarkan petisyen dalam talian ‘change.org’ bagi membantah keputusan itu, adalah bersifat perkauman.

Ini kerana, katanya, pihak terbabit sengaja mensensasikan perkara berkenaan dengan mengaitkan nama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang didakwa akan mengawal TH.

“Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab, mengapa tidak lihat Kementerian Kewangan ini juga di bawah Perdana Menteri? Mengapa hanya sasarkan Guan Eng?

“Mereka ini berniat jahat, mereka gunakan isu ini untuk kelirukan masyarakat dan gunakan isu perkauman. Ini tidak baik untuk negara kita,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mutiara Food Bank di sini, hari ini.

Semakan NSTP mendapati petisyen dalam talian yang bermula sejak empat hari lalu kini sudah memperolehi lebih 21,000 tandatangan daripada orang awam.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, peranan BNM hanyalah sebagai badan yang akan mengawal selia TH.

Katanya, sebelum ini BNM tidak boleh masuk campur dalam sebarang urusan membabitkan TH, dan perkara itu menyebabkan sebarang salah laku dalam TH tidak dapat dikesan.

“BNM adalah badan yang mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di negara ini, jika tiada yg kawal selia tiada ‘check and balance’.

“Jadi, kita perlukan pengawal selia, siapa lagi yang lebih layak berbanding BNM?” katanya.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, TH akan diletakkan di bawah kawal selia BNM bermula Januari tahun hadapan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Mujahid berkata, Kabinet memberi sokongan penuhnya kepada pemulihan TH, termasuk penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) pada bulan ini – berita harian