IPOH – Pusat Khidmat Adun Manjoi melancarkan tabung khas bagi mengutip dana membantu mangsa kebakaran, Abd Karim Alang Ahmad, 61, di Laluan Jelutong, Kampung Dato Ahmad Said (KDAS) 1, hari ini.

Pengumuman itu dibuat Exco Kerajaan negeri merangkap Adun Manjoi, Asmuni Awi ketika melawat kediaman mangsa buat kali ketiga.

Katanya, tabung khas tersebut akan dikendalikan pusat khidmatnya dengan sasaran kutipan RM100,000 dalam masa sebulan.

“Sebagai permulaan, saya sumbangkan RM10,000 melalui peruntukan sedia ada dan kita harap sasaran ini dapat dicapai dalam masa sebulan.

“Kita mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban saudara Abd Karim. Segala bentuk sumbangan sama ada wang tunai atau barangan keperluan boleh disalurkan melalui Pusat Khidmat Adun Manjoi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memaklumkan kepada Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang juga Ahli Parlimen Tambun mengenai kewujudan tabung tersebut.

Dalam pada itu, Asmuni berkata, beberapa pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) sudahpun bertemu dengan Abd Karim untuk melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

“Saya difahamkan pihak Maipk akan menguruskan bantuan sewa rumah sementara rumah sedia ada siap dibaiki.

“Kita harap sasaran kita untuk kutip dalam masa sebulan ini tercapai agar saudara kita ini dapat tinggal di rumah sendiri,” katanya – sinar