TRONOH: Kesedaran mengenai kebersihan dan kesihatan perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko penularan wabak penyakit Coronavirus (COVID-19), lebih-lebih lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April depan.

Antara arahan PKP ialah penutupan semua institusi pendidikan termasuk tadika.

Bagaimanapun, pembelajaran di rumah tetap perlu diteruskan secara atas talian.

Justeru, Tadika Kaffah Kids dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia ( MyHeart ) telah menganjurkan taklimat  ‘ Health & Hygiene Day’ bagi membantu ibu bapa dan anak-anak menjaga kebersihan dan kesihatan sepanjang tempoh PKP di rumah.
Sesi taklimat secara atas talian ini disampaikan Ketua Unit Akademik MyHeart dan sukarelawan aktif MyFundAction, Dr. Atiqah Shazwani Ahad.

Antara yang dilakukan adalah demonstrasi basuh tangan dengan langkah-langkah yang betul, demonstrasi memakai topeng muka yang betul dan cara membuang topeng muka yang telah digunakan.

Pengasas tadika Kaffah Kids, Nur Auni Arina Mohd Amir berkata, program itu telah dirancang lebih awal dan sepatutnya dilaksanakan di tadika semasa awal mendengar tentang berita penularan wabak COVID-19.

“Kami mengambil keputusan untuk meneruskan juga melalui atas talian. Alhamdulillah, program ini mendapat respon positif dan kerjasama yang sangat baik daripada ibu bapa,” katanya.

Selain itu, pihak Kaffah Kids juga telah menjalankan beberapa inisiatif bagi membantu pembelajaran anak-anak di rumah selaras dengan penekanan kepada Continuous Learning Journey.

Antara yang turut dilakukan adalah, kelas secara dalam talian melalui aplikasi di telefon, perkongsian ‘Facebook Live’ setiap hari oleh tenaga pengajar Kaffah Kids, perkongsian ‘Usrah Cool Moms’ secara mingguan untuk berkongsi tips keibubapaan, pertemuan atas talian dengan ibubapa dan berkongsi video serta bahan.

“Pihak tadika Kaffah Kids turut menjalankan pertandingan melukis bagi meningkatkan kesedaran tentang penularan wabak penyakit coronavirus dalam kalangan anak-anak.

“Terbaru,  pertandingan rakaman video hafalan Quran, Surah atau hadis bagi menyahut kempen ‘Stay At Home’ turut dilaksanakan bagi mengisi masa lapang anak-anak di rumah,” ujarnya.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh berhubung dengan Amnie Asbah di talian +60138522895.