Seri Iskandar: Polis menahan lima lelaki bagi kesalahan membabitkan dadah, termasuk dua daripadanya didapati memiliki heroin, syabu dan pil Erimin 5 dalam Operasi Bersepadu Khas Kesalahan Lalu Lintas di tiga lokasi di daerah Perak Tengah, malam tadi.

Operasi itu dijalankan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah serta beberapa agensi penguatkuasa lain bermula 10 malam hingga 2 pagi di Kilometer 29 Lebuhraya Ipoh- Lumut di kedua-dua arah dan di depan Balai Polis Bota.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kelima-lima mereka berusia 30-an itu ditahan berasingan selepas pemeriksaan mendapati dua daripadanya memiliki dadah manakala tiga lagi positif dadah.

“Pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang menaiki kereta menemui 0.3 gram heroin, 2.72 gram syabu manakala seorang lagi lelaki ditahan kerana memilik 0.5 gram pil Eramin 5. Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

‚ÄúTiga lagi lelaki ditahan selepas dua daripadanya positif methampetamin dan seorang lagi positif morfin, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) ADB 1952,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, polis juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 30-an yang dikehendaki kerana kesalahan gaduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Katanya, 21 saman trafik dan 52 saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan dalam operasi selama empat jam itu.

-myMetro