KUALA LUMPUR: Lelaki yang didapati meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan polis di sebuah lokap di Shah Alam mengalami demam, sakit perut, cirit-birit dan hilang selera selama beberapa hari, kata Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, Thanabalan Subramaniam, 38, tiba-tiba tidak sedarkan diri pada Selasa sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan hospital tersebut.

“Punca kematian masih tidak diketahui dan laporan bedah siasat juga masih belum dikeluarkan olegh pihak hospital,” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki meninggal dunia dalam lokap

Tambah beliau, Thanabalan ditahan di lokap tersebut sejak 29 Mac lalu.

Kata Noor Hisham, 10 lain yang ditahan turut jatuh sakit dan mengadu mengalami gejala yang sama.

Susulan siasatan yang dijalankan, sembilan daripada 10 kes yang dilaporkan melibatkan gejala ringan seperti batuk dan demam, sementara satu lagi kes melibatkan sakit perut dan cirit-birit.

Tujuh daripada mereka diberikan rawatan oleh pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang ketika berada di dalam lokap, manakala tiga lagi dirujuk ke Hospital Shah Alam dan dibenarkan pulang selepas itu.

“Pihak kementerian akan terus memantau situasi tersebut,” kata beliau.

Ahli Parlimen, G. Manivanan mengeluarkan kenyataan sebelum ini pada Khamis mendakwa terdapat unsur kecuaian dan kegagalan daripada pihak polis dalam merujuk Thanabalan kepada pihak doktor sehingga menyebabkan kematiannya.

Thanabalan ditahan sejak 20 hari lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) kerana disyaki terlibat dalam jenayah terancang – mstar