TAIPING– Tahanan lokap kes dadah yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Taiping petang semalam berjaya ditahan semula di Jalan Medan Kamunting 2, Medan Kamunting kira-kira jam 4.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, suspek Pang Hung Boon,37, dikesan sepasukan anggota polis ketika menjalankan Op Kesan di kawasan tersebut.

“Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Taiping telah nampak suspek yang menaiki motosikal jenis Honda EX-5 dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Medan Kamunting 2.

“Semasa mendekati suspek dan memperkenalkan diri sebagai polis, suspek telah bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

BERITA TERDAHULU : Polis Taiping Buru Tanahan Lolos Dari Lokap

“Berlaku pergelutan ketika pihak polis melaksanakan tangkapan ke atas suspek, bagaimanapun suspek berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya,pihak polis telah menangkap suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Semalam, suspek yang berasal dari Taman Desa Jaya, Kamunting telah melarikan diri kira-kira jam 7.33 petang.

Lima minit sebelum kejadian, seorang lelaki yang merupakan pembekal makanan tahan telah masuk ke dalam lokap untuk menghantar hidangan makan malam.

Ketika anggota polis bertugas membuka pintu utama untuk lelaki itu masuk, suspek telah meluru keluar dari pintu itu dab melarikan diri ke arah kawasan parkir bengkel kenderaan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Taiping.