IPOH: Seorang lelaki yang merupakan tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dengan 16 rekod jenayah lampau langsung tidak serik berhadapan dengan tindakan undang-undang apabila dia sekali lagi melakukan samun bersenjata di sebuah kedai 24 jam dekat sini pada malam Ahad.

Malah, hukuman POCA selama setahun terhadap lelaki berusia 31 tahun dari Pulau Pinang itu langsung tidak menghilangkan “gian” melakukan samun bersama seorang lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby suspek yang mempunyai pelbagai rekod lampau termasuk lapan kes dadah dan samun itu ditangkap setelah cubaan untuk menyamun sebuah kedai 24 jam gagal.

“Dua orang lelaki termasuk suspek telah masuk ke dalam sebuah kedai 24 jam dan menggunakan pisau untuk merompak pengadu. Pengadu berjaya melawan dan menangkap salah seorang daripada penjenayah itu.

“Selepas membuat tangkapan, pengadu telah membuat laporan polis dan soal siasat suspek membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki Melayu berusia 21 tahun,”katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Utama di Ibu Pejabat Daerah Ipoh pada petang Isnin.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka merupakan individu bawah pemantauan Balai Polis Manjoi dan Taman Rishah.

“Suspek pertama mempunyai 16 rekod lampau termasuk lapan kes dadah, empat kes curi motosikal, satu kes samun, dua kes pecah rumah dan satu kes ugutan jenayah manakala seorang lagi suspek berusia 21 tahun itu merupakan POCA daripada Selangor yang mempunyai dua kesalahan lampau dadah, dua kes samun dan satu kes curi dalam bangunan.

“Suspek kedua tersebut juga baru sahaja dikenakan tindakan POCA selama dua tahun sehingga tahun 2020, yang bermula 5 Januari lepas,”katanya lagi.

Mohd Ali berkata hasil tangkapan polis juga telah menemui semula barang samun iaitu sebungkus kuaci bunga, dua botol deodorant, sebotol minyak rambut serta wang tunai bernilai RM266.00.

“Kedua-dua individu POCA ini telah dipakaikan peranti pemantauan elektronik (EMD) dan ini merupakan kes melibatkan EMD yang pertama di Ipoh,”katanya lagi.