KUALA LUMPUR 28 Nov. – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan remaja 16 tahun yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut nyawa 23 penghuni termasuk dua wardennya, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, September lalu.

Majistret Zilfinaz Abbas memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka menarik balik pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh lelaki itu ekoran laporan patologi dari Makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan bacaan negatif.

Bagaimanapun tertuduh berusia 16 tahun itu tidak boleh dibebaskan kerana mempunyai satu lagi pertuduhan iaitu membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 5 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes melibatkan seorang lagi tertuduh berusia 16 tahun selepas remaja itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Bagi dua beradik berusia 16 dan 17 tahun yang mengaku salah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, mahkamah menetapkan petang ini untuk jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, kelima-kelima remaja itu didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini kira-kira 11.35 pagi, 16 September lalu.

Sementara itu, Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 3 Januari tahun depan bagi kes dua remaja berusia 16 tahun yang didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden di pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September lalu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE.