KUANTAN – Pelajar sekolah antara golongan yang terdedah kepada ancaman siber apabila kadar pemilikan telefon pintar dan pendedahan kepada penggunaan internet serta media sosial dalam kalangan mereka agak tinggi.

Lebih membimbangkan, hasil kajian asas nasional 2016 yang dijalankan pihak CyberSecurity Malaysia mendapati tahap pemantauan ibu bapa terhadap penggunaan internet dalam kalangan anak-anak masih rendah.

Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Pembangunan Kapasiti CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Mustaffa Ahmad berkata, hasil kajian ke atas 8,459 murid dan pelajar tahun satu hingga tingkatan lima seluruh negara mendapati penggunaan harian internet dalam kalangan murid tahun satu hingga tiga mencapai 30 peratus.

Menurutnya, penggunaan harian internet bagi pelajar tahun empat hingga enam adalah 40 peratus manakala 60 peratus pelajar sekolah menengah yang terlibat dalam kajian itu mengakui menggunakan internet setiap hari.

Katanya, dalam kajian itu turut menunjukkan murid tahun satu sudah memiliki sekurang-kurangnya satu akaun laman sosial sama ada Facebook, WhatsApp atau Instagram dan lain-lain.

“Daripada kajian, empat peratus murid tahun satu hingga tiga mempunyai akaun laman sosial. Murid tahun empat hingga enam 67 peratus, manakala pelajar sekolah menengah 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kesedaran Keselamatan Siber (Cybersafe Talk) untuk pelajar dan ibu bapa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan di sini, kelmarin.

Mustaffa berkata, kadar milikan telefon pintar menunjukkan, daripada pelajar yang ditemui, 60 peratus murid darjah empat hingga enam memilikinya manakala pelajar sekolah menengah mencecah 80 peratus.

“Kita dapati, hasil kajian terhadap pemantauan ibu bapa terhadap penggunaan internet terlalu rendah. Hanya 20 peratus dalam kalangan ibu bapa murid darjah satu hingga tiga ada bersama anak-anak ketika melayari interet manakala selebihnya tiada pemantauan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, hasil kajian itu menunjukkan kadar penggunaan internet di kalangan pelajar agak tinggi dan jika tahap pengawasan ibu bapa masih rendah, dikhuatiri golongan itu terdedah kepada kandungan web tidak sepatutnya dan berisiko menjadi mangsa ancaman siber.

-SinarHarian