TAIPING – Di sebalik status bandar warisan dan bandar lestari pelancongan antara terbaik di dunia dikecapi Taiping, bandar bersejarah itu kini berhadapan kemungkinan kehilangan satu khazanah warisan negara iaitu Lapangan Terbang Taiping, Tekah dalam masa terdekat.

Risiko kehilangan lapangan terbang pertama dibina di Semenanjung Malaysia itu kini dibimbangi penduduk Taiping gara-gara akan dipindah hak milik tanah kepada seorang pemaju tempatan bagi tujuan pembangunan.

Hakikat itu disahkan sendiri Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim yang mendedahkan lapangan terbang bersejarah Taiping seluas 40 ekar itu kini dalam proses diserahkan hak milik kepada sebuah syarikat pemaju tempatan oleh kerajaan negeri bagi pembangunan skim perumahan kos rendah.

Menurutnya, ketika ini, pihaknya difahamkan sebuah syarikat pemaju tempatan berpengkalan di Taiping sudah menerima surat tawaran pemberian hak milik tanah lapangan terbang terbabit yang dimiliki Perbadanan Menteri Besar (MBInc).

“Bagaimanapun, saya bersama Pejabat Daerah dan Tanah(PDT) Larut, Matang dan Selama(LMS) kini sedang berusaha sedaya upaya untuk menghentikan usaha itu memandangkan kawasan Lapangan Terbang Taiping, Tekah merupakan salah satu khazanah warisan Taiping paling bernilai.

“Permohonan bantahan terhadap sebarang usaha memindah hak milik tanah lapangan terbang itu sudah dikemukakan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan keputusan akhir berada di tangan beliau,” katanya kepada media sewaktu merasmikan Program Seranta Perkeso Taiping di sebuah hotel di sini hari ini.

Kok Lim berkata, selain penekanan kawasan lapangan terbang itu sebagai lokasi warisan Taiping, pihaknya turut mengambil kira kepentingan penggunaan kemudahan itu untuk latihan anggota polis dan tentera.

Menurutnya, pihaknya juga tidak dimaklumkan sama ada tindakan pemindahan hak milik tanah lapangan terbang itu kepada pemaju akan membabitkan proses penukaran atau ‘swapping’ tanah ke kawasan lain.

“Saya sendiri menerima banyak aduan penduduk setempat yang menuntut status tanah kerajaan itu dikekalkan dan hanya dibangunkan untuk projek yang benar-benar memberi kepentingan besar kepada rakyat.

“Kita bukan hendak membantah inisiatif pembangunan yang cuba direncana di kawasan itu, namun kerajaan negeri perlu melakarkan pelan pembangunan lebih holistik demi kepentingan masa hadapan penduduk kawasan Tekah.

“Saya akan berterusan berusaha menghalang proses penyerahan hak milik tanah lapangan terbang itu kepada pemaju terbabit demi menyelamatkan khazanah warisan bandar Taiping itu yang amat bernilai,” katanya.

Dibina pada tahun 1929, Lapangan Terbang Taiping, Tekah pernah menjadi saksi sejarah apabila pemimpin berpengaruh Indonesia, Sukarno dan Mohammad Hata pernah mendarat di sana pada 12 Ogos 1945 untuk bertemu dengan tokoh nasionalis negara, Dr Burhanuddin Helmi dan Ibrahim Yaacob untuk berbincang kemungkinan penyatuan Malaya dan Indonesia (Melayu Raya) sekiranya mencapai kemerdekaan.

Selain itu, Lapangan Terbang Taiping, Tekah pernah menjadi tumpuan dunia apabila seorang juruterbang wanita Amerika terkemuka, Amelia Earhart berhenti mendarat di sana pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama membuat penerbangan solo di Lautan Atlantik.