KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh sehingga memaksa Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman diperintah keluar dewan.

Kekecohan bermula apabila Tajuddin berang dengan sikap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub yang tidak menjawab pertanyaan yang diajukannya dan meninggalkan dewan serta menyerahkan tugas itu kepada timbalan menteri.

“Saya ingin merekodkan di sini kekesalan saya terhadap menteri pertanian yang ada di sini tadi menjawab soalan (pertanyaan lisan) kedua, keluar sebelum satu lagi soalan saya. Beliau tidak hormat, saya mewakili rakyat, tolong hormat sikit rakyat,” katanya.

Timbalan Speaker Nga Kor Meng kemudian mengarahkan Tajuddin keluar dewan selepas wakil rakyat Umno itu enggan mengikuti arahan dan membuat kecoh.

“Pasir Salak diberi ruang yang cukup untuk bertanya, tetapi beliau pilih tidak bertanyakan tapi lempar tuduhan kepada menteri. Bagi saya tidak berasas, saya minta beliau tanya soalan tapi masih berdegil.

“Oleh itu bentara sila jalankan tugas jemput beliau keluar,” katanya.

Nga kemudian turut memutuskan menggantung Tajuddin daripada menghadiri persidangan dewan selama 4 hari. -freemalaysiatoday