PASIR SALAK – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menawarkan diri untuk bertanding dan merebut salah satu jawatan peringkat tertinggi kepimpinan UMNO pada musim pemilihan yang bakal berlangsung 30 Jun ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Bahagian telah menyokongnya selaku ketua bahagian untuk tampil menawarkan diri bagi satu jawatan peringkat tertinggi kepimpinan parti itu.

“Jawatankuasa Bahagian sebulat suara menyokong atau pun mahukan saya selaku ketua bahagian menawarkan diri untuk satu jawatan peringkat tertinggi kepimpinan UMNO di dalam musim pemilihan yang akan datang ini. Saya berhajat sekiranya dapat sokongan daripada semua ahli-ahli UMNO bagi saya memberikan khidmat untuk parti bangkit semula,” ujar beliau di dalam satu sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Tajuddin berkata jawatan tertinggi itu hanya akan diumumkannya secara rasmi dalam satu sidang media bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 Jun jam 5.30 petang.

“UMNO sebuah parti keramat sudah berusia 70 tahun walaupun menghadapi kekalahan peringkat nasional, apabila diteliti sokongan Orang Melayu terhadap UMNO masih kuat. Kita menang sebanyak 54 kerusi yang mana antara parti politik yang mendapat bilangan kerusi terbanyak dalam parlimen sebenarnya,” katanya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO kini telah menjadi ahli parti itu selama 42 tahun bermula daripada akar umbi pernah menggalas tugas sebagai ketua bahagian selama 15 tahun sejak tahun 2004 berharap pengalamannya itu akan membantu parti untuk bangun semula.

Tajuddin berharap kepimpinan UMNO yang akan terpilih kelak terdiri daripada pemimpin yang memahami cabaran yang sedang dihadapi parti dan mengetahui cara menghadapi cabaran tersebut.

“Kepimpinan ini amat penting kerana mereka yang akan memandu ahli-ahli UMNO kerana masih banyak yang memberikan sokongan pada parti UMNO dan kita masih kuat.

“Mesyuarat cawangan juga masih hebat sambutan yang mengalakkan dan ini menunjukkan komitmen penyokong masih kuat jadi saya terpanggil untuk memainkan peranan sekiranya mendapat sokongan daripada ahli UMNO untuk membangkitkan semula obor perjuang umno selepas pemilihan kelak,” katanya.

Tajuddin menjelaskan, kekalahan dialami parti kini bukannya kekalahan UMNO dalam membela nasib rakyat dan membangunkan negara tetapi disebaliknya disebabkan permainan politik pihak lawan yang bijak menggunakan sosial media selain janji-janji telah menarik minat pengundi terutama golongan muda dikawasan bandar.

“Kejayaan dilakukan oleh UMNO tiada siapa dapat menandinginya jadi Ummo perlu bangkit semula dengan berani dan bersungguh-sungguh kerana kita bukan sahaja mahu menebus kekalahan dalam pilihan raya umum tetapi kita melihat dalam tempoh terdekat Pakatan Harapan dan pemimpinnya telah menunjukkan hala tuju pemerintahan kepimpinan mereka telah merugikan orang Melayu dan mengancam survival orang Melayu Islam melalui tuntutan dan keputusan yang merugikan majoriti Melayu peribumi,” katanya.

Terdahulu,jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden UMNO akan dipertandingkan serentak di seluruh negara pada 30 Jun ini sebagaimana termaktub dalam peraturan parti itu.