PASIR SALAK – Sekarang merupakan masa yang tepat untuk UMNO dan PAS bergabung, kata Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, PAS tidak mempunyai perbezaan dari segi hala tuju perjuangan dengan UMNO.

“Orang UMNO saya rasakan di akar umbi bersedia untuk bekerjasama dengan PAS. Saya boleh kata begitu kerana orang UMNO dapat terima jika kita dapat wujudkan satu kerjasama walaupun berlainan parti serta mempunyai kaedah politik berbeza tetapi persamaan tetap ada,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak di sini, malam tadi.

Katanya, UMNO dan PAS mempunyai perjuangan yang serupa di antara kedua-dua parti.

“Saya berharap ahli UMNO menyokong satu daya usaha menggabungkan kekuatan UMNO dan PAS bagi menghadapi cabaran yang kita hadapi hari ini demi menjaga survival peribumi dan Agama Islam khususnya.

“Saya rasa orang PAS juga sudah sedar jika kita antara UMNO dan PAS masih lagi mahu menunjukkan kehebatan masing-masing maka kita tidak berupaya menghadapi tentangan daripada pihak lawan.

“Atas keinsafan ini saya harap pihak PAS menyedari perkara ini yang mana kita perlu bergabung pemikiran, tenaga, satu perjuangan dan saya percaya satu kekuatan baru akan wujud dalam politik tanah air kita serta kelangsungan hak Orang Melayu,” katanya.

Tajuddin menyarankan agar kedua-dua parti bergabung dengan menggunakan ruang yang tersedia dan mengelak daripada menunggu untuk jangka waktu yang lama dengan mengambil kira jumlah kerusi dimiliki oleh kedua parti.

“Jika boleh bersatu dalam satu perjuangan kita boleh menjadi satu pihak yang kuat berhadapan kerajaan Pakatan dalam pertahankan hak bangsa Melayu dan Agama Islam.

“Sebagai pembangkang kalau bergabung dalam satu perjuangan tak perlu masuk parti PAS, UMNO masuk PAS tetapi dengan bersatu hati pastinya dapat memberi satu cabaran hebat kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Tajuddin turut menasihatkan agar UMNO berubah terutama dalam cara berpolitik yang mana perlu lebih pintar dan arif dengan cara baru.