SEBERANG PERAK: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyokong penuh cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengusulkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan pada tahun hadapan.

Menurutnya, cadangan yang disuarakan oleh Hishammuddin itu mempunyai rasionalnya demi menjaga kestabilan parti dan memelihara perpaduan dalam UMNO.

Katanya lagi, pertandingan pucuk pimpinan juga tidak perlu berlaku kerana jika berlaku, ia tidak membawa kebaikan kepada parti.

“Saya menyokong penuh apa yang disuarakan oleh Hishammuddin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Arena Square dan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Seberang Perak, hari ini.

Tajuddin berkata, pengalaman lalu membuktikan bahawa selalunya parti terbelah dua dan menyebabkan huru-hara dalam parti kerana perpecahan di kalangan ahli selepas pertandingan di peringkat Presiden dan Timbalan Presiden. 

 “Kalau ada pertandingan di peringkat atas, selalunya parti terbelah kepada dua, macam dulu tahun ’87 (ada) Tengku Razaleigh Hamzah punya kem, Tun Mahathir punya kem (dan) mengambil masa yang lama untuk mengembalikan kesatuan di dalam UMNO.

“Huru-hara parti ini disebabkan oleh perpecahan yang berlaku selepas pertandingan di peringkat Presiden dan Timbalan Presiden, Tengku Razaleigh lawan Mahathir, Tun Musa Hitam lawan Timbalan Presiden, Encik Ghafar.

 “Maknanya perpecahan UMNO bukan 70-30 atau 60-40; langsung (jadi) 50-50. Lama baharu Tengku Razaleigh masuk balik, Musa Hitam masuk balik,’’ katanya.

Dua jawatan tertinggi dalam UMNO, Presiden dan Timbalan Presiden dicadangkan tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun hadapan.

Perkara itu diusulkan oleh Hishammuddin dengan alasan ia memberi fokus untuk mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di kalangan bukan Melayu boleh dipertingkatkan selain dapat mengelakkan sesetengah pihak melaga-lagakan dua pemimpin tertinggi parti itu.

Menurut Hishamuddin, kebimbangan terbesarnya ialah BN akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tanpa sokongan pengundi bukan Melayu.

Pada Ogos lalu, UMNO Bahagian Masjid Tanah juga meluluskan usul mencadangkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal memegang dua jawatan tertinggi itu.

 Zahid dilantik oleh Majlis Tertinggi UMNO untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden selepas parti itu menggantung sebelum memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari 2016.