MANJUNG – Barisan Nasional (BN) Perak tidak akan serta-merta menunding jari menyalahkan Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai dalang disebalik perhimpunan membantah pencalonan kerusi Parlimen Tanjung Malim.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ianya juga tidak adil untuk turut menuduh timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh bersama-sama Ka Chuan bertanggungjawab mencetuskan bantahan tersebut.

Menurutnya BN Negeri tidak akan akan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman ekoran kepada Ka Chuan dan Dr Kamarul sebelum mendapatkan fakta sebenar kejadian.

“Kita akan dapatkan maklumat lanjut, adalah tidak adil bagi saya untuk menjatuhkan hukuman terus kepada Datuk Seri Ong Ka Chuan, atau kepada Datuk Dr. Kamarul.

“Kita tidak tahu…mungkin ada pihak tertentu biasalah musim PRU permainan-permainan yang cuba dimainkan…jadi tidak adil untuk saya katakan mereka (Ong Ka Chuan dan Dr. Kamarul) adalah dalang di atas tindakan ini, soal jumpa atau telefon (untuk berbincang) kita akan dapatkan maklumat lanjut,”katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Rumah Amanjaya Batu 14 dan Batu 10, di sini pada Khamis.

Dr Zambry berkata BN Negeri akan menyerahkan keputusan kepada pihak komponen BN terhadap isu protes membabitkan Setiausaha Agung MCA itu setelah mendapat gambaran sebenar.

“Bila kita menamakan calon- calon untuk Pilihan Raya, biasanya akan ada yang kurang senang, merajuk, tidak berpuas hati dan sebagainya. Kita memahami, dalam konteks BN termasuk komponen segala keputusan dibuat berdasarkan musyawarah.

“Kita belum dapat laporan penuh, apa yang berlaku sebenarnya, siapa di belakangnya, kadangkala kita merasakan bahawa kita ada sokongan, tapi kita tak tahu calon baru pun lebih banyak sokongan,” katanya.

Media hari ini melaporkan hampir 500 penduduk Tanjung Malim berhimpun di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri bagi membantah pengguguran Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai calon PRU14.

Ka Chuan digugurkan dari pencalonan kerusi tersebut dan diganti Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon sebagai calon BN di Parlimen Tanjung Malim.