KUALA LUMPUR: Sebanyak 71,315 kereta pelbagai jenama termasuk Honda yang dipanggil balik ke pusat penyelenggaraan susulan masalah beg udara tidak boleh memperbaharui cukai jalan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata langkah drastik menerusi perintah larangan berkuat kuasa serta-merta itu terpaksa diambil kerana statistik merekodkan lapan kes berpunca daripada kepincangan beg udara Honda, sejak 2014.

Selain itu, katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan menghubungi Honda dan syarikat pengeluar kereta berkaitan yang mempunyai masalah beg udara, mulai Isnin ini.

“JPJ akan menyerahkan maklumat mengenai alamat semua pemilik kereta Honda, khususnya 71,315 orang yang masih tidak tampil ke pusat penyelenggaraan untuk menukar beg udara.

“Langkah ini perlu kerana 21.5 peratus daripada 332,458 kereta Honda, keluaran 2003 hingga 2013 masih menggunakan beg udara jenis Takata yang lama, sekali gus mengundang risiko kepada pengguna.

“Saya sangat sakit hati apabila mengetahui kemalangan yang berpunca daripada masalah seumpama ini,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat waris mendiang Pong Hou Tien, 23, yang meninggal dunia di tempat kejadian, dekat Taman Len Sen selepas kereta dipandunya terbabas melanggar tiang lampu.

Ketika kejadian, mangsa yang juga pelajar tahun akhir jurusan kewangan ekonomi sebuah universiti swasta di sini, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Damai Perdana, Cheras selepas menonton perlawanan bola di sebuah restoran mamak.

Punca kematian dikenal pasti berpunca daripada kerosakan beg udara sebelah tempat duduk penumpang yang menyebabkan besi sepanjang dua sentimeter terpelanting dengan kadar kelajuan tinggi sehingga menembusi leher mangsa.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) menghantar surat enam hari sebelum kejadian, iaitu pada 22 Mei lalu, untuk memanggil balik kenderaan terpakai dibeli mangsa, namun ia dikirimkan ke alamat berbeza.

“Mengikut laporan, HMSB mengutus surat peringatan untuk menukar beg udara ke alamat lama pemilik sebanyak 28 kali berdasarkan maklumat yang dibekalkan JPJ kepada syarikat pengeluar kereta terbabit.

“Oleh kerana pangkalan data di JPJ mengenai butiran kereta ini masih menggunakan alamat lama, semua surat peringatan tidak sampai ke pengetahuan mangsa dan keluarga.

“Mereka tidak tahu bahawa kereta yang dibeli itu perlu dibawa semula ke pusat penyelenggaraan untuk menukar beg udara kerana sistem keselamatan kenderaannya mempunyai masalah,” katanya.

Mengulas langkah drastik lain, Siew Fook berkata, kementerian akan mengkaji perintah larangan menggunakan bahan kimia tertentu dalam kelongsong pengaktif beg udara kereta, termasuk ammonium nitrat yang dikatakan punca kejadian berkenaan.

Setakat ini, katanya, kementerian dan JPJ belum menerima laporan terperinci daripada syarikat pengeluar kereta mengenai penelitian penggunaan bahan kimia berkenaan.

“Kita akan keluarkan larangan jika kajian mendapati penggunaan bahan kimia berkaitan tidak sesuai berikutan faktor tertentu,” katanya – berita harian

Fakta nombor, sejak 2014

332,458 kereta Honda pelbagai varian dipanggil balik kerana masalah beg udara
563,739 beg udara jenis Takata yang perlu ditukar kerana bermasalah
261,143 kereta Honda pelbagai varian sudah menukar beg udara Takata
435,332 pengaktif beg udara Takata ditukar
78.5 peratus kereta Honda menggunakan beg udara Takata sudah dibaiki