WAKTU tidur pada musim Pilihan Raya Umum tidak menentu berbanding pada musim Piala Dunia kerana sibuk memasang bendera dan poster calon yang bertanding,” kata Mohamad Che Embong, 59, dari Kampung Pulau Manis, Serada ketika ditemui, kelmarin.

Mohamad berkata, dia menyertai kerja memasang bendera dan poster parti itu sejak berusia tujuh tahun bersama ayah yang memang penyokong kuat Barisan Nasional (BN).

“Saya berjaga sehingga 3 pagi pada setiap malam sejak Hari Penamaan Calon pada 28 April lalu bagi memastikan panji-panji BN dinaikkan di kawasan kampung sebagai tanda sokongan kuat penduduk terhadap parti itu.

“Sudah 60 tahun BN memerintah negara ini dan terlalu banyak jasa parti itu terhadap saya, keluarga dan masyarakat justeru menjadi tanggungjawab saya untuk membalas jasa parti dengan bersama-sama berjuang.

“Soal upah memang kami ketepikan dan kerja pemasangan bendera dijalankan dengan penuh ikhlas dan semangat kerana sayangkan BN,” katanya.

Tambahnya, dia sudah terlalu masak dengan kerenah semua parti yang bertanding ketika menjalankan kegiatan pemasangan bendera parti masing-masing.

“Sehingga kini, saya dan rakan tidak pernah terbabit dengan pergaduhan, malah sekiranya ada unsur-unsur yang boleh menyebabkan pergaduhan, kami akan mengundurkan diri dari kawasan berkenaan.

“Kami mengamalkan politik matang dan terbuka, setiap orang mempunyai hak untuk memasang bendera parti mereka di kawasan yang dirasakan perlu justeru tidak perlu bergaduh kerana hal itu.

“Semua orang perlu hormat-menghormati kerana tenaga kerja yang membuat pemasangan bendera itu keletihan dan tidak cukup tidur, justeru perlu memahami di antara satu sama lain dengan tidak menimbulkan provokasi,” katanya.

Menurutnya, setiap kali musim PRU, dia tidak akan melepaskan peluang menyertai tenaga kerja pemasangan bendera parti itu di Kampung Pulau Manis, Tanjung Ketum, Serada dan Banggol Mempelam.

“Perang bendera itu hanya lima tahun sekali, justeru saya tidak akan melepaskan peluang untuk merasai keseronokannya dan ia dijadikan medan mempamerkan kreativiti masing-masing.

“Biarpun tidak cukup tidur, namun kerja pemasangan bendera tetap dijalankan dan biasanya bermula 9 malam hingga 3 pagi serta dijangka seminggu sebelum hari mengundi, kami akan bermalam di markas bagi mencegah perbuatan khianat dan sabotaj yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya – hmetro