LUMUT – Seramai 250 anggota parti PKR ranting Pangkor dan Pasir Bogak bertindak keluar parti kerana mendakwa sudah muak dengan sikap kepimpinan dan wakil rakyat mereka yang langsung tidak mengambil berat terhadap masyarakat kaum India di kawasan.

Kesemua mereka juga sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan satu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang akan berfungsi sebagai satu platform untuk membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Bekas Ketua Ranting PKR Pangkor, V. Subramaniam berkata, kesemua bekas ahli PKR itu bertindak sedemikian kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti kawasan Lumut dan juga ahli parlimennya, Laksamana Pertama Muhammad Imran Abdul Hamid (B).

“Kami sudah tidak tahan lagi, langsung tidak turun padang bantu kaum India dan Cina sebagai seorang ahli parlimen, kami kecewa.

“Kami dah tersilap banyak sebab menyokong dia dulu, pada pilihan raya kali ini kami nak sokong BN, tidak kira siapa pun yang akan bertanding nanti,” katanya pada satu sidang media khas di Pulau Pangkor pada Rabu.

Dakwa beliau lagi, pucuk pimpinan parti termasuk ahli parlimen terbabit juga hanya turun ke kawasan setahun sekali sejak 2013 dan kali terakhir berbuat demikian pada Oktober 2017 lalu.

Justeru katanya, kesemua 250 individu yang keluar parti berkenaan berjanji akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan dengan menjadi sebahagian daripada jentera BN pada PRU14 melalui NGO yang diberi nama Anbudamai.

“Saya akan berjumpa dengan Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) untuk minta tolong beliau membantu kami kerana kami sudah menyesal,” ujarnya.

Tindakan keluar parti yang diketuai oleh Subramaniam dan bekas Ketua Ranting PKR Pasir Bogak, Shawal Hamid Pitchai Nagoor Samsu itu sekali gus menyaksikan kedua-dua ranting berkenaan berkubur dengan sendirinya.