IPOH – Tidak faham bahasa, sengaja memekakkan telinga atau ini sebenarnya memang tabiat masyarakat yang gemar membuang sampah di kawasan tidak sepatutnya.

Meskipun telah diberi peringatan beberapa kali, namun kes pembuangan sampah di lokasi haram masih lagi berleluasa di sekitar bandar raya ini.

Semalam sahaja, lebih 30 tan sampah yang diletakkan di tiga lokasi pembuangan haram di sekitar kawasan Perindustrian Silibin, telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, tanggungjawab mengekalkan status Ipoh sebagai bandar raya terbersih di negara ini memerlukan penglibatan semua pihak.

Menurutnya, tanpa kesedaran dan tanggungjawab masyarakat, usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjadikan bandar ini bersih tidak akan berjaya.

“Kita akan meneruskan tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun bernilai RM250 sepertimana tertakluk di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan kepada individu atau pihak yang terlibat dalam pembuangan sampah haram di bandar raya ini.

“Kerjasama warga kota diperlukan dalam menyampaikan sebarang maklumat berkaitan isu ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, MBI telah menjalankan lebih 100 aktiviti gotong-royong dan memasang 831 papan tanda ‘Dilarang Membuang Sampah’ di sekitar bandar raya Ipoh.

Katanya, tindakan itu tidak termasuk aktiviti pembersihan di 17,127 lokasi longgokan sampah haram dan mengeluarkan 2,405 kompaun bernilai RM507,400. -Sinar