Melaka: Empat lelaki bukan saja melarikan perabot dan barangan elektrik, malah sempat bermalam selama seminggu di rumah jiran mereka yang dipecah masuk sebelum ditahan polis petang semalam.

Menurut sumber, mereka yang berusia 20 hingga 27 tahun itu ditahan di dua rumah di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, pada 2.30 petang.

“Ketika ditahan, seorang daripada mereka mengaku sudah tinggal di rumah jirannya yang dipecah masuk selama seminggu.

“Polis turut menemui semua barangan dipercayai milik pemilik rumah yang meninggalkan kediamannya itu sejak 4 Mac lalu kerana bekerja di Singapura,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu disedari pemilik rumah selepas melihat keadaan rumah yang berselerak termasuk beberapa perabot dan alatan elektrik lesap sebaik sahaja memasuki kediaman di aras empat itu jam 12.30 tengah hari semalam.

Sumber berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh sebelum sepasukan polis tiba memeriksa sebuah rumah dihuni seorang lelaki yang mempunyai rekod pengawasan polis.

“Pemeriksaan menemui barangan milik mangsa antaranya set perabot bilik tidur, alat pendingin hawa, peti sejuk dan periuk nasi yang di simpan di dalam rumahnya.

“Tiga lelaki ditahan di dalam rumah terbabit manakala seorang lagi ditahan di rumah ibunya yang juga tinggal di blok bersebelahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan semua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-myMetro