SHAH ALAM – Ada tugas kerajaan yang perlu dihadiri, kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditanya mengapa beliau tidak hadir Mesyuarat Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Mohamed Azmin menjelaskan, tanggungjawab beliau bukan hanya tertumpu kepada parti sahaja sebaliknya turut mempunyai komitmen dalam kerajaan.

“Kita perlu bawa mandat ini secara bersama, adakala ada tugas kerajaan yang perlu dilaksanakan. Ramai pemimpin senior PKR ada mempunyai jawatan dalam kerajaan,” katanya di lobi Dewan Negeri Selangor hari ini.

Katanya, beliau tetap menghadiri program parti jika tiada tugas kerajaan.

“Tanggung jawab parti pun kita kena tunaikan. Dua-dua tugas perlu dilaksanakan. Ada program parti saya hadir jika tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum. Itu proses biasa, kenapa sasarkan saya?,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifudin Nasution memberikan peringatan kepada kepimpinan parti itu supaya hadir dalam mesyuarat parti mengikut jadual ditetapkan.

Selain Mohamed Azmin, Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita, Haniza Talha dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Amirudin Shari turut tidak hadir dalam mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.