IPOH: Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan tidak berhasrat untuk menghalang atau menyekat tindakan ibu bapa empat murid yang melecur akibat terkena air panas ketika amali sains untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan negeri, YB Dr Abdul Aziz Bari berkata kerajaan negeri amat prihatin dengan hak dan masa depan murid-murid tersebut.

“Mengenai kenyataan saya sebelum ini di mana tidak ada pelanggaran SOP (Prosedur Operasi Standard) yang dilakukan pihak sekolah, saya tidak bermaksud untuk menyekat atau menafikan hak sebagai ibu bapa dan penjaga.

“Saya dan juga kerajaan negeri akur setiap warganegara mempunyai hak masing-masing. Kita percaya dengan keluhuran undang-undang dan kebebasan mahkamah dan kita tidak menafikan hak ibu bapa untuk membawa atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi itu berkata demikian pada sidang media pada persidangan dewan undangan negeri ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi tu, seramai 35 murid Tahun Dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Maha Ganesa Viddysalal di Sitiawan sedang menjalani sesi amali sains bersama seorang guru sebelum tiga pelajar lelaki dan seorang perempuan terkena air panas.

Ditanya adakah keluarga murid-murid berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat, Abdul Aziz berkata beliau tidak tahu, cuma mendengar perkara itu daripada beberapa pihak.

“Saya rasa itu perkara biasa, saya rasa sesiapa pun yang terlibat dalam kemalangan itu, patut mendapat cadangan atau maklum balas dari keluarga dan rakan-rakan.

“Saya tidak berhajat untuk menyekat atau mempengaruhi mereka supaya tidak mengambil tindakan undang-undang kepada kerajaan. Itu hak mereka. Dalam Malaysia baru ini, semua rakyat berhak membawa apa sahaja tindakan apa yang mereka fikir patut bawa,” katanya.

Beliau menegaskan dengan adanya Malaysia baharu, mahkamah sekarang lebih bebas dan yakin keputusan yang adil dapat dicapai.

“Saya tidak berhajat untuk menekankan pihak sekolah dan ibu bapa. Saya bimbang ada seolah-olah yang mentafsir saya cuba mempengaruhi. Saya cuma prihatin dengan trauma guru berkenaan dan sekolah itu juga kurang kemudahan,” ujarnya.