MELAKA: Hanya sempat keluar parti selama ‘48 jam’. Ini selepas kira-kira 100 ahli termasuk Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Hilir, Tangga Batu, di sini, membuat pusingan ‘U’ untuk kekal dalam parti itu, hari ini.

Pengerusinya, Jalalludin Mulot, berkata keputusan itu dibuat tanpa desakan oleh mana-mana pihak, sebaliknya mendakwa masalah dalaman yang menjadi punca krisis itu berjaya diselesaikan secara baik bersama Pengerusi AMANAH Melaka yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari.

Beliau turut berjanji, tiada lagi perkara berbangkit membabitkan jawatan dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), sebaliknya komited untuk lebih fokus melaksanakan perjuangan parti.

“Kita akan kekal bersama AMANAH Melaka. Biar apa juga masalah, kita akan sentiasa menyokong perjuangan parti.

“Apa yang berlaku kelmarin (tindakan keluar parti), hanyalah salah faham. Perkara ini juga sudah diselesaikan bersama Pengerusi AMANAH Melaka (Adly) tanpa ada campur tangan pihak luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan pembatalan pembubaran AMANAH Cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Hilir, Tangga Batu, bersama-sama penyokongnya, di sini. Yang hadir sama, Setiausaha AMANAH negeri, Yuhaizad Abdullah.

Mengenai isu pelantikan jawatan dalam MPKK, Jalalludin berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian kerana pihaknya kini lebih mengutamakan pemuafakatan sesama ahli AMANAH cawangan berkenaan.

Ahad lalu, NSTP melaporkan kira-kira 100 ahli jawatankuasa dan anggota termasuk Pengerusi Parti AMANAH Cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Hilir, Tangga Batu, mengumumkan keluar parti, sekali gus membubarkan cawangan parti itu di kampung berkenaan.

Tindakan itu didakwa susulan krisis dalaman yang berlarutan antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) khususnya membabitkan pemilihan jawatan dalam MPKK.

Malah, keputusan itu juga didakwa susulan berlaku campur tangan daripada seorang EXCO kanan kerajaan negeri bagi pelantikan jawatan organisasi berkenaan – berita harian