IPOH: Sedar akan peluang untuk menang agak tipis, Calon bebas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, S. Murugiah berkata, beliau tidak kisah kehilangan wang pertaruhan pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Menurutnya, beliau bertanding kerana mahu membela nasib rakyat, khususnya kira-kira 12,000 masyarakat India di Hulu Kinta.

Dakwanya, selama ini wakil rakyat Hulu Kinta tidak memberi khidmat kepada semua kaum.

Murugiah, seorang kontraktor yang juga Pengerusi Kuil Mariaman Tanjung Rambutan turut mendakwa mendapat sokongan daripada gabungan kuil-kuil kecil di sekitar Tambun.

Sementara itu, bekas wakil rakyat Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah menyangkal dakwaan itu.

“Apa yang tidak kami buat untuk masyarakat India, macam-macam kita beri,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jelapang di sini, hari ini.

DUN Hulu Kinta menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohd Salleh Said (PAS), Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN), S. Murugiah (Bebas) dan Murafat Arafat Varisai Mahamad (PKR).