TAWAU: Wanita yang dituduh memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian empat lelaki di Jalan Chong Thien Vun dekat sini, 8 Julai lalu, mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Olivia Chong Oi Yun, 34, yang memakai baju petak biru gelap membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ferhanshah Farene selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 12 Julai lalu, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripadanya ketika itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai eksekutif pengurusan di sebuah syarikat swasta di sini, didapati mempunyai banyak alkohol dalam badan sehingga tahap alkohol di dalam darah melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian kepada empat individu.

Mereka yang maut dalam kejadian itu ialah Hiew Nyuk Wei, 30; Clawence Wong Vun Kit, 21; Dicson Lim Kien Shing, 16; dan Chong Wei Chan, 21, selain mengakibatkan seorang lagi mangsa, Chin Guan Xiong, 21, patah kaki.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini bagi sebutan semula serta penyerahan kesemua dokumen bagi tujuan perbicaraan diserahkan kepada tertuduh atau peguamnya, manakala tiga September sebagai tarikh pengurusan kes selaras peruntukan Seksyen 51A (1) Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah bagaimanapun belum menetapkan tarikh perbicaraan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Ghani Zelika.

Tertuduh yang juga bekas calon sebuah parti politik tempatan di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lima tahun lalu, dituduh mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sabit kesalahan membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara sehingga 10 tahun.

Dalam kejadian awal pagi 8 Julai lalu, empat lelaki maut dan seorang lagi patah kaki kiri dirempuh sebuah Toyota Vios di kawasan parkir Pusat Komersil BDC (1Arena) di Jalan Chong Thien Vun.

Dalam kejadian itu, kereta dipandu wanita terbabit turut melanggar sebuah van Toyota Hiace serta dua kereta, PERODUA Bezza dan Myvi – berita harian