PENIAGA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan menumbuk muka jirannya di Bazar Ramadan Taman Medan, di Petaling Jaya, minggu lalu.

Syamiluddin Amatakin, 25, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Haslinda Abd Majid, 31, di hadapan Sekolah Rendah Agama Taman Medan, di sini, pada 7.30 petang, 12 Jun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Natasya Chin Le Jy menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

Syamiluddin yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah atas alasan dia perlu menanggung ibu bapa di kampung.

Majistret Nor Ariffin Hisham kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen – hmetro