KOTA BHARU – “Tak perlulah pakai maskara kalau tiada duit.” Itu teguran majistret kepada seorang wanita suri rumah sebelum menghukumnya dengan penjara lima hari dan denda RM500 kerana mencuri alat solek tersebut di sebuah pasar raya, di sini.

Majistret, Nik Habri Muhammad menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Farihan Yahya, 28, selepas tertuduh mengaku salah terhadap tuduhan yang dikemukakan.

Tertuduh didakwa mencuri sebotol minuman tenaga 100 Plus berperisa Berry 500 mililiter; satu maskara jenama Maybelline New York; dua batang pencil ukiran mata Maybelline Masterliner dan empat botol bedak Johnson’s dengan kerugian berjumlah RM96.79.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pasar raya dalam sebuah kompleks membeli belah di Jalan Hamzah, di sini, pada jam 5.45 petang, 19 Februari lalu.

Dakwaan terhadap ibu kepada tiga anak itu dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Nik Habri sebelum menjatuhkan hukuman menasihati tertuduh supaya mengambil pengajaran daripada kesalahan tersebut.

“Semua barang yang kamu curi ini bukanlah satu keperluan wajib, jadi tak perlulah curi. Selepas ini jangan buat lagi dan berfikirlah baik-baik sebelum melakukan sesuatu,” katanya.

Tertuduh yang mendengar nasihat itu mengangguk-angguk dan menangis sehingga selesai prosiding.

Nik Habri juga menegaskan supaya masyarakat umum faham akan peruntukkan undang-undang mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang mewajibkan pesalahnya dihukum penjara walaupun hanya sehari.

“Hukuman penjara yang saya jatuhkan ini dikira berkuat kuasa dari tarikh kamu ditahan iaitu pada hari kejadian, maka kamu boleh bebas selepas ini (semalam), namun pada pandangan saya, hukuman tu tidak memadai dan saya tambah dengan denda RM500 supaya kamu mendapat pengajaran,” katanya.

Nik Habri juga memerintahkan supaya tertuduh menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya denda itu gagal dijelaskan. Tertuduh dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, di sini, sehingga denda itu dijelaskan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Shahmeera Mustafa, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.

Terdahulu, tertuduh merayu supaya hukumannya dikurangkan dengan alasan mempunyai anak yang masih kecil dan bersekolah.

“Tertuduh tidak bekerja dan mempunyai anak berusia 8 dan 3 tahun serta tujuh bulan, manakala suaminya pula sudah sebulan lebih tidak pulang kerana bekerja sebagai buruh di Pasir Puteh, tetapi hadir bersama anak bongsu mereka di mahkamah hari ini (semalam),” kata peguam.

-SinarHarian